| |
|
JIKA KITA
DITAKDIRKAN BEGINI |
Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit.
Aaahh… kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya.
Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang
disajikanNya itu. Aku duduk dan terasa kewujudannya. Lalu terjadilah
perbualan yang menginsafkanku.
Apabila Dia bertanya kepadaku, “Adakah kamu mencintai Aku?” lalu aku
menjawab, “Sudah tentu! Engkaulah penciptaku, masakan aku tidak
mencintaiMu”.
Apabila Dia bertanya, “Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah
kamu akan mencintaiku?” Aku lihat tangan, kaki dan seluruh anggotaku,
aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa
anggotaku yang selama ini kusedari kepentingannya. Lalu aku jawab,
“Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu”.
Apabila Dia bertanya, “Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan
menyayangi segala ciptaanKu?” Bagaimana aku mencintai sesuatu yang
tak mampu kulihat, tapi aku terfikir ramai orang yang ditakdirkan
buta di dunia ini masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lalu
aku menjawab, “ Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang
sedemikian rupa, namun aku tetap menyintaiMu, ya Allah!”
Apabila Dia terus bertanya “Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?”
Dengan nada yang tegas dan penuh keberanian aku menjawab, “Ya, benar
Tuhanku, aku menyintaiMu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan
Tuhan yang sebenar!”
Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab semua
pertanyaanNya tadi, tetapi Dia bertanya lagi, “Kalau begitu, mengapa
kamu masih melakukan dosa?” Aku jawab, “Kerana aku cuma manusia
biasa yang selalu lalai, aku tidak sempurna ima, aku bukan maksum”.
Dia terus bertanya “Kalau begitu kenapa ketika kamu senang dan
gembira, kamu lupa akan Aku, kamu lari jauh daripadaKu, tetapiketika
kamu susah atau mahukan bantuan, kamu terus ingat kepada Aku, kamu
datang dekat dan merayu kepada Aku? Mengapa kamu kadang kala sujud
menyembahKu dan kemudian membelakangiKu, tidak pedulikan Aku?
Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberi peluang untuk
berkhidmat di jalanKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu
tidak setia kepadaKu? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Ku rasakan titisan
panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. Aku tidak mampu
berkata apa-apa lagi.
Hasil Nukilan:
Amnani Syahadah
|
|
 |
|
|
 |
|
Copyright © 2003-2008
Majalah Syu'latul Kifah -
Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor. |
Edisi 5
Tahun 2007 |
|
 |
|
|