| |
|
KEBANGKITAN
KUBUR |
Disebutkan di dalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk
dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur
masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN
dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.
Bertanya orang kepada Rasulullah saw : Bagaimana kita dapat
mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari kiamat?. Maka jawabnya
Rasulullah saw Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan
oleh WUDHU'.
Bila kiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil
membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas
SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil.
Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah
debu KEIMANAN mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka
melalui titian Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga
setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah
pelayan Ku dan hamba-hamba Ku.
Disebutkan oleh hadis Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang
mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh
asal di waktu mati :
1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. para Syuhada
5. Para Penghafaz Al-Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8. Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka
itu dari kalangan orang yang beriman.
Di dalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra sabda
Rasulullah saw: Apabila datang hari kiamat dan orang-orang yang
berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu
kepada Malaikat Ridhwan : Wahai Ridhwan, sesungguhnya Aku telah
mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa (ahli puasa) dari kubur mereka
di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka
segala makanan yang digoreng dan buah-buahan syurga. Maka Malaikat
Ridhwan menyeru , wahai sekalian kawan-kawan dan semua anak-anak
yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang
dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang
penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat
banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan
berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil
mengucap sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Surah
Al-Haqqah bermaksud :
"Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu
kerjakan pada HARI yang telah LALU itu."
Baginda Rasulullah S.A.W berkata: Apabila telah sampai ajal
seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam
lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya
melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah
itu datang pula kumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari
lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang
lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari
perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir
sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari
dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat
nazak orang itu."
Sambung Rasulullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat
Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga
orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila
orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada
orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat
rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap
Jibrail A.S."
Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan
menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat
melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak
lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu
takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang
mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila
malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut
maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
"Tidak ada jalan bagi mu mencabut roh orang ini melalui jalan ini
kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah
S.W.T."
Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali
kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah
orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai
malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain."
Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka
malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan.
Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah
usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka
berkata tangan: "Tidak ada jalan bagi mu untuk mencabut roh orang
mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan
ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu
pengetahuan."
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari
arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya
malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada
jalan bagi mu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan
berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga
berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."
Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah
kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja
malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak
ada jalan bagi mu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa
mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata
tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak
ada jalan bagi mu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat
beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis
kerana takutkan Allah."
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu,
tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang
beriman itu."
Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut
menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik
saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka
keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia
keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju
ketujuh tempat:
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga liyyina.
4. Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut
kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di
bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari
minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka
diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."
Telah bersabda Rasullullah S.A.W :
"Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para
malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya :
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.
Sekian untuk ingatan kita bersama.
|
|
 |
|
|
 |
|
Copyright © 2003-2008
Majalah Syu'latul Kifah -
Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor. |
Edisi 5
Tahun 2007 |
|
 |
|
|