 |
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan
ribuan terima kasih atas kesudian Sidang Redaksi ‘Syu’latul
Kifah’ memberikan kesempatan dan ruang kepada saya selaku
YDP PIBG untuk mengungkapkan sepatah dua bicara dalam
terbitan adi karya para pelajar sekolah ini. Syabas dan
tahniah juga saya rakamkan kepada semua pihak yang telah
menunjukkan komitmen yang jitu bagi menjayakan penerbitan
majalah edisi ke-5 tahun 2007 ini. |
Penerbitan majalah Syu’latul Kifah merupakan aktiviti luar bilik
darjah yang diusahakan oleh pelajar dengan bimbingan daripada
guru-guru dengan tujuan untuk mendokumentasikan seluruh kegiatan
perjalanan sekolah sepanjang tahun. Majalah ini juga merupakan satu
dokumen yang berharga pada masa-masa mendatang untuk melihat dan
mengungkap kembali kemajuan-kemajuan serta perkembangan-perkembangan
yang telah dicapai oleh sekolah ini.
Sebagai YDP PIBG, saya percaya kejayaan sekolah ini bukan bergantung
kepada sebelah pihak sahaja malahan bagi merealisasikan impian dan
harapan menjadikan sekolah ini sebagai sekolah yang mempunyai
pelajar cemerlang malahan gemilang sahsiahnya, kerjasama semua pihak
amat penting. Justeru hubungan akrab antara pihak sekolah dan ibu
bapa serta penjaga memainkan peranan utama bagi mencapai tujuan dan
hasrat ini.
Walaupun penubuhan PIBG SMAPR baru setahun jagung, namun saya
percaya bahawa kewujudan PIBG sekolah ini akan dapat membantu pihak
sekolah dalam merangka dan menyediakan landasan bagi aktiviti
pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum yang lebih
efektif dan mapan bagi melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing
yang tinggi pada masa hadapan.
Integrasi ilmu yang bertunjangkan keagamaan dan keperluan hakiki
semasa perlu di perkasa dan diperkukuh bagi menjamin jati diri
pelajar terus unggul apatah lagi semasa menghadapi arus globalisasi
perdana yang semakin lama makin mencabar. Bagi menjayakan matlamat
tersebut, saya mengharapkan semua pihak dapat bekerjasama sebagai
satu pasukan bagi merealisasikan visi dan misi kecemerlangan dan
keterbilangan yang kita idamkan. Segala bentuk sumbangan sama ada
dari sudut moral, material, idea dan kritikan membina amat
dialu-alukan bagi kejayaan anak-anak kita.
Akhir kalam, saya mendoakan semoga SMAPR akan terus berjaya dalam
semua lapangan dan ‘Syu’latul Kifah’ terus menjadi bahan dokumentasi
yang unggul sebagai pemacu kegemilangan pelajar.
Sekian, terima kasih.

..............................................
(Tn. Hj. Esa b. Abd. Rahman)
Yang Dipertua PIBG
Sek Men. Agama Parit Raja
|